RAUDHAH
Tempat yang paling terasa nak pergi tengok dengan mata sendiri. Selama dengar daripada keluarga dan kawan2 sekerja. Pengalaman sendiri tak sama dengan apa yang kita dengar.
Masa hari pertama sampai di Madinah, dalam lingkungan pukul 3 ke 4 pagi. Kami diarahkan untuk menunggu di lobi untuk penerimaan beg bagasi dan kunci bilik. Allahuu.. Cuaca di sana masa itu sangat sejuk. Selepas semuanya selesai, kami terus masuk ke bilik hotel dan bersiap sedia untuk solat subuh kerana masuk waktu dalam lingkungan jam 5.40 pagi.
Jarak hotel ke Masjid Nabawi tak jauh. Dalam 80 meter sahaja. Melihat suana di sana, hati terus terasa sayu. Teringatkan sirah Nabi Muhammad berhijrah bersama para sahabat. Rasa syukur yang tak terhingga kerana diberi peluang oleh Allah untuk sampai juga di sana. Selesai solat subuh, kami duduk diperkarangan luar masjid menunggu Dhuha. Suhu masa itu lebih kurang 8°C. Hari pertama, aktiviti kami bebas.
Pada hari kedua, selepas solat subuh dan dhuha, kami terus bersarapan pagi di hotel dan kami sekeluarga berjalan di tepi2 kedai sambil membeli cenderahati untuk dibawa pulang nanti. Pada sebelah petang pula, kami dibawa menziarahi tempat2 di sekitar masjid dan mendengar sirah2 yang berkaitan tempat2 tersebut. Pada sebelah malamnya pula, kami dibimbing oleh beberapa orang ustazah daripada Indonesia untuk memasuki Raudhah.
Kami dikehendaki untuk berkumpul dalam jam 7 petang di lobi dan seterusnya dibawa masuk ke dalam masjid melalui pintu 25. Masha Allah.. Ramai sungguh orang di dalam tu. Kami sampai agak lewat kerana terpaksa duduk di bahagian ruang jalan. Dalam hati hanya berdoa semoga dipermudahkan urusan kami untuk masuk ke Raudhah nanti. Habis sahaja solat Isyak, kami terus meluru masuk ke ruang lain untuk menunggu masa pintu ke Raudhah di buka. Ustazah menjangkakan dalam jam 9 malam kami dibenarkan masuk.
Semasa di dalam ruang tersebut, ustazah membimbing kami semua untuk memberi salam ke atas Nabi S
A.W serta sahabat2 baginda selain membimbing kami membaca doa. Selepas itu, kami beristighfar, berzikir dan membaca al-Quran sementara menunggu waktu tersebut. Akhirnya, dalam jam 10.15 malam, waktu yang ditunggu-tunggu, tiba jua. Semua jemaah wanita yang ada di situ, berlari menuju pintu yang dibuka untuk ke Raudhah. Kami juga yang tidak tahu apa2 ini juga turut sama berlari mengikut ustazah di hadapan. Setibanya di Raudhah, laju air mata mengalir. Rasa yang bercampur baur. Gembira, sayu, syukur, semuanya ada. Walaupun sesama melakukan solat sunat ditolak oleh orang lain namun tetap juga diteruskan.
Pada hari kedua pula, aktiviti bebas. Pada malam itu, saya dan adik ipar bertekad nak datang semula ke Raudhah. Walaupun tanpa bimbingan ustazah, kami masuk mengikut pintu yang sama iaitu pintu 25. Tak sangka selepas membuka kasut dan ingin masuk ke dalam masjid, saya dan adik ipar berpisah. Tak nampak langsung di mana adik ipar pergi masa tu. Saya terus melangkah mengikut gerak hati. Berdoa supaya Allah permudahkan dan perkenankan doa untuk masuk lagi ke dalam Raudhah. Selesai Isyak, saya terus bergerak ke ruang lebih dalam dan ke hadapan sehingga ternampak pagar kayu. Disekeliling terdapat plastik penghalang berwarna putih.
Jauh disudut hati terdetik, macam mana keadaan adik ipar. Risau. Sebab berjanji nak masuk bersama-sama. Dalam jam 10 malam, bunyi bising riuh rendah dari arah sebelah kiri. Memang sudah diketahui sebabnya. Suasana bising tersebut akibat daripada pintu ke Raudhah sudah dibuka. Maka ramailah yang diruang saya duduk ni, cuba untuk masuk sama ke arah sebelah sana. Pujukkan diri supaya bertenang dan bersabar. Sebab, skrin tv di hadapan tertulis, anggaran waktu pintu ke Raudhah akan dibuka pada jam 10.45 malam hingga jam 11 malam.
Jadinya, saya teruskan berzikir dan selepas itu membaca al-Quran. Di situ jugalah ada seorang perempuan arab lingkungan 20-an menegur saya kerana tertidur dalam keadaan duduk. Mungkin padanya nampak menggelikan hati. Dia bertanya, bolehkah saya berbahasa arab? Saya merapatkan ibu jari dan jari telunjuk yang memaksudkan sedikit2 sahaja yang saya boleh tuturkan. Selepas itu terjadilah perbualan seperti ayam dan itik. Ini kerana, sudah agak lama saya tidak menggunakan bahasa arab. Jadinya, bahasa arab saya agak terhad. Selebihnya, saya banyak gunakan bahasa isyarat.
Jam menunjukkan pukul 10.45 malam. Petugas wanita yang menjaga disitu telah membuka pintu menuju ke Raudhah. Masih ramai lagi orang yang berlari-lari menuju ke sana. Saya bangun dengan berhati-hati kerana mengalami kaki kebas dan perlahan-lahan menuju ke Raudhah. Alhamdulillah. Ruang di Raudhah agak sedikit lengang. Saya dapat meluangkan masa yang agak lama juga dihadapan makam Rasulullah dan Raudhah untuk bersujud dan berdoa. Raudhah merupakan satu taman yang pernah disebut oleh baginda pada hayatnya. Tempatnya di antara makam Rasulullah dan mimbar. Macam mana nak kenal? Permaidani di kawasan Raudhah berwarna hijau dan tiang2 di sana berbeza dengan tiang yang ada di dalam masjid.
Rasa sangat seronok berada di Madinah. Struktur bangunan yang teratur dan tidak serabut menjadikan kita rasa mudah dan ingin selalu ke masjid. Berbanding di Mekah, struktur bangunan agak tidak tersusun dan ruang di dalam masjid banyak digunakan untuk tawaf dan saei. Selain itu, masih banyak lagi bangunan masjid itu sendiri sedang dibina. Jika sudah azan, agak sukar untuk dapat tempat yang selesa untuk solat di dalam masjid. Walaupun begitu, pahala di Masjidil Haram 100000 ganjaran. Manfaatkanlah seelok-eloknya.
Saya berdoa supaya Allah mengizinkan kita semua ke sana menjadi tetamu-Nya dan dapat menjalankan ibadat dengan sebaiknya. Aamiin.. 😊
